Cappadocia Yang Mengkagumkan



Assalamualaikum dan bertemu kembali..sambung cerita lagi mengenai Trip ke Turki.

Hari ke 3 – Cappadocia

Selepas puas menikmati sarapan pagi bersama rakan-rakan (semua menu yang ada nak dirasa) kami mula bergerak keluar sekitar jam 8 pagi. Mr Sakir (Tour Guide) memberitahu lokasi awal yang diziarahi ialah satu tempat yang terdapat bukit yang berbentuk seakan seekor Unta yang sedang duduk, katak yang seperti nak melompat “jump frog”,  dan lain-lain objek yang menarik.

Sepanjang dalam kenderaan, kami memerhati keadaan sekeliling, kiri dan kanan bentuk mukabumi Cappadocia yang begitu memukau pandangan. Maha Suci Allah yang mencipta setiap kejadian dengan penuh rasa keajaiban.

20161011_095817

Sesampai tempat yang dituju, memang benar seperti yang dimaklumkan bukit yang dimaksudkan (seperti gambar di atas) kelihatan seakan seekor Unta yang sedang duduk. Maha Suci Allah yang mencipta sesuatu kejadian supaya kita boleh berfikir akan kebesaran Allah.

Rasa kagum yang amat sangat akan keindahan alam ciptaan Ilahi mendorong saya, isteri dan beberapa rakan (yang rasa fit) turun dan panjat bukit untuk melihat dan mengambil post yang menarik. Tak tergambar dengan kata-kata. Biarkan gambar-gambar yang berbicara..

20161011_100201

Muka bumi Cappadocia yang terletak dalam wilayah tengah Anatolia sarat dipenuhi dengan formasi batu-batuan yang disebut “fairy chimneys”, bukit-bukit yang ditarah menjadi tempat kediaman manusia, gua-gua bawah tanah sehinggakan Cappadocia diikhtiraf sebagai salah satu keajaiban warisan sejarah dunia oleh Unesco.

20161011_100456

Cappadocia juga menyimpan banyak kesan peninggalan sejarah ketamadun manusia dari era Persia, “Alexander the great”, tamadun Rom, Byzantine dan Kekaisaran Ottoman. Batu-batuan bukit yang terbentuk dari cetusan vulkanik berjutaan tahun lalu, kesan hakisan angin dan hujan sehingga membentuk pemandangan yang kita saksikan sekarang.

20161011_101216

Kami dimaklumkan oleh Mr Sakir bahawasanya di beberapa lokasi di sini pernah dijadikan latar penggambaran filem Barat antaranya ialah filem Ghost Rider. Setelah cukup masa kami beralih ke kawasan lain yang lebih menarik lagi.

20161011_105436

Kami menuju ke lokasi yang kedua. Kali ini kami saksikan betapa indahnya bentuk bukit bukit di kawasan ini. Tak mampu diucapkan dengan kata-kata. Keadaan bentuk bukit-bukit seperti mengalami dua proses yang berbeza zaman pabila dilihat dari corak warna yang berbeza pada bukit-bukit yang berkenaan. Menakjubkan.

20161011_103501

Adalah dipercayai pada zaman Kekaisaran Rom masyarakat setempat  telah mengukir bukit-bukit menjadi rumah-rumah khas, gereja dan biara dan keadaannya boleh dilihat kesannya sehingga kini.

20161011_104151

Setelah menghabiskan masa sekitar 1 jam, kami dibawa pula ke suatu tempat yang digelar “Love Valley” Cappadocia. Pemandangan di “Love Valley” ini amat cantik jika dilihat dari udara atau belon panas. Ini kerana bentuk batu-batuan yang terdapat di kawasan ini amat unik dan lembah ini dilihat seperti berbentuk hati bila dilihat dari udara. Kami berada di sini tidak lama kerana ada agenda yang lebih penting lagi iaitu Makan Tengahari.

20161011_112830

Selepas makan tengahari, kami dibawa ke Muzium Terbuka Cappadocia iaitu satu kawasan ruangan terbuka yang terdiri dari gua-gua atau bukit-bukit yang ditarah menjadi penempatan manusia, gereja dan biara dan juga kubur.

20161011_141000

Kita boleh saksikan sendiri kesan sejarah zaman ketamadunan Rom pada abad ke4 yang membina gereja dan biara di celah-celah bukit yang ditarah. Ada juga kesan gambar-gambar lukisan imej Kristian di dinding gua.

20161011_141453

Kami tidak dibenarkan mengambil gambar dari dalam kesan gereja yang berkenaan. Ada penjaga yang menunggu di lokasi kawasan masuk pintu gua atau bukit yang berkenaan. Jadi banyak gambar-gambar yang diambil ialah di kawasan luar sahaja.

20161011_142724

Oleh kerana Muzium Terbuka Cappadocia ini terletak di kawasan tinggi maka untuk melawat kawasan ini memerlukan kekuatan fizikal dan juga stamina. Bagi yang tak biasa memang semput dibuatnya. Sungguhpun tercungap-cungap mendaki banyak bukit tetapi alang-alang dah sampai biarlah kita puas meneroka kawasan.

Lawatan ke Kilang Latihan Pembuatan Carpet

Turki amat terkenal sebagai negara pengeluar Carpet yang terbaik di dunia. Bertuahnya rasa badan apabila kami dapat melihat sendiri demostrasi penghasilan Carpet Turki yang dibuat secara tangan ini atau “hand made”.

20161011_152332

Kami diberi penerangan oleh seorang petugas yang menerangkan proses penghasilan Carpet Turki buatan tangan dari proses awal sehingga menjadi barangan siap. Memang patut pun harga Carpet Turki buatan tangan ini mahal harganya. Ini kerana proses menghasilkan Carpet buatan tangan ini memerlukan daya imiginasi yang tinggi dari si pembuat dan mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan.

20161011_154222

Persembahan Dervish atau Darwis

Darwis ialah ungkapan Arab untuk ahli Sufi. Persembahan Darwish ialah satu demo persembahan meditasi ahli-ahli Sufi yang menggunakan alat tiupan seruling diiringi dengan syair lagu-lagu yang mendayu-dayu dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah. Kebiasaannya persembahan Darwis ini diadakan setiap hari tetapi oleh kerana kehadiran pelancung yang kurang maka pertunjukan Darwis ini diadakan apabila ada permintaan sahaja.

20161011_174450

Oleh kerana kumpulan kami memohon untuk melihat sendiri Persembahan Darwis maka pihak yang berkenaan bersetuju untuk mengadakan persembahannya dan hanya kami sahaja yang menontonnya.

Bagi yang sukakan hiburan persembahan sebegini mungkin membosankan tetapi bila diamati bunyi tiupan seruling yang mendayu-dayu maka memang terasa ada “feel”. Semacam ada terapi zikir dalam persembahannya.

Aktiviti kami berakhir menjelang senja. Jadi kami kembali ke Hotel yang rupa-rupanya tidak jauh dari tempat persembahan Darwish diadakan.

Jumpa lagi …untuk kisah pengalaman seterusnya.. bersambung…

Leave a Reply