Profil Syarikat


Ajwa Travel & Tours Sdn Bhd di asaskan oleh Tuan Haji Muhammad Iqbal bin Safwan.

Muhammad Iqbal bin Safwan atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Iqbal telah melibatkan diri dalam industri Umrah semenjak tahun 1993 dan industri haji semenjak 2002.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Perakaunan di Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali Universiti Putra Malaysia) pada tahun 1991, beliau bertugas di firma audit Atarek Kamil, kemudian bertugas sebagai Akauntan di syarikat Pemaju Jepun Toa (M) Sdn Bhd sebelum mengambil keputusan untuk berhenti bekerja makan gaji.

Pada tahun 1993, beliau bersama ayahandanya Ustaz Haji Safwan Fathy  membuka Akademi Islam Jamiyah iaitu suatu Pusat Belajar al-Quran (kaedah IQRA’) untuk golongan dewasa. Pada tahun inilah beliau mula membawa rombongan jemaah umrah yang dicarinya sendiri bernaung kepada syarikat Melati Travel & Tours Sdn Bhd.

Berkat doa di tanah suci agar Allah menjemput beliau ke tanah suci setiap tahun sebagai tetamunya, semenjak itu setiap tahun beliau ke tanah suci menunaikan Umrah bersama jemaah yang dicarinya sendiri.

Pada tahun 2001, Pengerusi Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, iaitu Haji Zainal Abidin Yusof (kini bergelar Dato’) telah mempelawa beliau menyumbangkan khidmat bakti dengan menjadi Petugas Haji dan Umrah di tanah suci. Setelah 10 tahun bersama dengan Zahafiz, beliau dipelawa memajukan sector Umrah di bawah syarikat DZ Travel & Tours (M) Sdn Bhd.

Melalui syarikat ini, beliau memperkenalkan konsep Pakej Umrah Idaman yang menitikberatkan keselesaan beribadah di tanah suci. Dengan menjadikan hotel bertaraf bintang di Makkah sebagai hotel penginapan bagi jemaah, harga pakej yang ditawarkan adalah yang termurah berbanding dengan standard pakej yang seumpamanya.

Atas pengalaman dan sedikit ilmu yang ada, beliau merasakan perlu diberi pendedahan dan maklumat yang terperinci kepada masyarakat sebagai persiapan sebelum menunaikan haji atau umrah ke tanah suci.Maka lahirlah blog beliau www.iqbalsafwan.com.

Bersama isterinya Hajah Norhayati Mohd Yusoff, beliau menubuhkan syarikat Ajwa Travel & Tours Sdn Bhd yang beralamat di Lot 304, Tingkat 3, bangunan Lembaga Tabung Haji Klang bagi meneruskan legasi Pakej Umrah Idaman yang diilhamkan beliau.